RANTAU PANJANG: Tindakan seorang lelaki Pakistan menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang merupakan rakan senegeranya membawa padah selepas ditahan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam.
Lelaki berusia 40 tahun ditahan bersama empat PATI Pakistan itu semasa melalui sekat pintas Serongga disini pada pukul 9 Pagi.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, semasa melakukan penugasan Op Taring Wawasan Kelantan anggota bertugas telah mengesan sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua individu yang ditahan itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemandu kereta tersebut kita tahan bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada PATI.
“Penumpang kereta berkenaan pula di tahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Kesuspek telah dibawa ke IPD Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, PGA akan mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan pendatang tanpa izin dari terus berleluasa di sempadan negara.-UTUSAN