Lelaki OKU tetak bapa didakwa, diarah jalani penilaian psikiatri - Utusan Malaysia

Lelaki OKU tetak bapa didakwa, diarah jalani penilaian psikiatri

TERTUDUH (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Seksyen Kangar, hari ini, bagi menghadapi pertuduhan menetak bapanya secara sengaja dalam kejadian di Kampung Padang Besar Selatan, Kuala Perlis, Perlis, pada Isnin lalu. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dipercayai menetak bapanya dalam kejadian di Kampung Padang Besar Selatan, Kuala Perlis, di sini, pada Isnin lalu, didakwa di Mahkamah Seksyen 1, di sini, hari ini.

Tertuduh, Anuar Halim, 45, bagaimanapun mengangguk faham dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.

Mengikut pertuduhan, Anuar didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada ayahnya, Halim Lebai Othman, 74, dengan menggunakan sebilah parang sehingga boleh menyebabkan kematian.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Padang Besar Selatan, Kuala Perlis, di sini, pada pukul 5 petang, Isnin lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Ahmad Po’ad manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd Hapiz Rajali.

Terdahulu, tertuduh dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar, di sini, pada pukul 8.30 pagi tadi selepas direman, semalam.

Utusan Malaysia pada Rabu melaporkan seorang lelaki warga emas cedera selepas ditetak anak lelakinya yang merupakan OKU mental dalam kejadian di Kampung Padang Besar Selatan, di sini.

Lelaki itu juga kemudiannya turut melarikan diri selepas melakukan tindakan tersebut yang dilaporkan berlaku sekitar pukul 5 petang.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata, susulan itu, lelaki itu juga berjaya ditahan polis ketika sedang berlegar-legar sekitar kawasan kampung itu sekitar pukul 10 pagi, pada Rabu.

Pada prosiding berkenaan, Nabilah berkata, sewaktu dalam siasatan, pegawai penyiasat mendapati tertuduh merupakan pemilik kad OKU dan pihaknya memohon agar kes itu dirujuk mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tertuduh ditahan bagi pemantauan mental oleh pakar psikiatri selama sebulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Mac.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya