KUALA KRAI: Tindakan seorang lelaki menyimpan 1 tan Gas Petroleum Cecair (LPG) yang dianggarkan hampir RM10,000 membawa padah selepas dia ditahan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan di Taman Sri Guchil, di sini, semalam.
Tangkapan dan rampasan pada pukul 10.04 pagi itu dilakukan hasil intipan selama seminggu yang dilakukan oleh anggota penguat kuasan KDPN.
Pengarahnya Azman Ismail berkata, pemeriksaan ke atas dua premis berasingan membawa kepada penemuan 79 tong LPG yang telah disorokan oleh lelaki berkenaan.
“Kita turut menyita dua buah lori dan sebuah motosikal yang dipercayai digunakan untuk kegiatan tersebut.
“Dua helai resit belian, sebuah buku catatan pesanan pelanggan, dan satu bil elektrik turut dirampas bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Azman memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.-UTUSAN