KLUANG: Seorang lelaki cedera dipercayai ditembak semasa didatangi tiga lelaki di Kampung Bukit Batu, Machap dekat sini, tengah hari tadi.
Utusan Malaysia difahamkan mangsa tidak mengalami kecederaan serius.
Dalam kejadian pukul 12.17 tengah hari itu disyaki melibatkan tiga lelaki yang menaiki tiga buah kenderaan.
Tular dalam media sosial menunjukkan pasukan polis sedang membuat siasatan di lokasi kejadian dan tiga kelongsong dipercayai peluru pistol ditemukan.
Difahamkan sebelum kejadian, tiga lelaki berada di hadapan sebuah rumah sebelum menemui seorang lelaki dan melepaskan tembakan.
Kejadian dipercayai berlaku akibat suspek tidak berpuas hati selepas lelaki berkenaan membuat laporan berkaitan hutang suspek kepadanya.
Namun, hingga kini pihak polis masih belum menyiarkan kenyataan rasmi tentang kejadian berkenaan. – UTUSAN