Lelaki 22 tahun hilang ditemukan lemas di Raub - Utusan Malaysia

Lelaki 22 tahun hilang ditemukan lemas di Raub

MAYAT mangsa ditemukan tertimbus dengan pasir di dasar sungai pada jarak satu kilometer dari kawasan mangsa dikhuatiri lemas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Seorang lelaki 22 tahun yang hilang ketika mandi bersama abangnya di Sungai Kampung Badang, Jalan Cheroh dekat Batu Talam di sini pada Selasa lalu ditemukan lemas hari ini.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman berkata, mayat mangsa, Ahmad Khairul Nizam Sudin, 22, ditemukan pukul 1 petang tadi dengan bantuan petunjuk lokasi oleh penduduk kampung.

Katanya, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bukit Angin membuat pencarian menggunakan teknik ‘water surface rescue’ dan ‘skin dive’ di lokasi.

“Pasukan penyelamat berjaya menemukan mangsa yang tertimbus dengan pasir di dasar sungai pada jarak satu kilometer dari kawasan mangsa dikhuatiri lemas.

“Mangsa berjaya dinaikkan ke darat pada pukul 1.25 petang. Mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Raub untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Selasa lalu, kegembiraan enam sekawan termasuk tiga beradik mandi manda di Sungai Kampung Badang bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka hilang dibawa arus sungai.

Ketika kejadian, Ahmad Khairul Nizam bersama abang, adik serta tiga rakan pergi ke sungai itu kira-kira pukul 3 petang untuk mandi-manda.

Namun, mangsa bersama seorang lagi rakan yang dikenali sebagai Ikhwan dipercayai lemas sebelum hanyut dibawa arus sungai.

Abang mangsa, Ahmad Tarmizi Haris, 23, yang turut berada di situ bertindak mengambil bot jenis gentian kaca tanpa enjin yang ada di tepi tebing untuk menyelamatkan adiknya namun tidak berjaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN