PETALING JAYA: Larangan penubuhan anak syarikat baharu oleh agensi kerajaan tanpa kelulusan peringkat tertinggi dapat mengurangkan pembaziran dan memastikan sumber negara digunakan secara optimum.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, berkata langkah tersebut adalah satu usaha proaktif dan perlu dalam memastikan kecekapan pengurusan kewangan serta tadbir urus yang lebih telus dalam sektor awam.
Katanya, pihaknya menyokong penuh langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Langkah ini akan membantu mengurangkan pembaziran dan memastikan sumber negara digunakan secara optimum.
“Selain itu, penyeragaman agensi kerajaan dan rasionalisasi badan berkanun yang dicadangkan adalah langkah yang tepat ke arah memperkukuh institusi kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Anwar dilaporkan berkata, mana-mana agensi kerajaan tidak boleh lagi menubuhkan anak syarikat di bawahnya tanpa kelulusan peringkat tertinggi.
Perdana Menteri berkata, ini kerana terlalu banyak syarikat berkaitan mencatatkan kerugian besar.
Katanya, membatalkan syarikat yang gagal bukan tugas mudah tetapi perkara itu perlu dilakukan demi reformasi institusi negara.
Mengulas lanjut, Jais berkata, kawalan ketat terhadap penubuhan anak syarikat baharu akan mengurangkan risiko ketirisan kewangan serta meningkatkan tahap akauntabiliti dalam pengurusan sumber awam.
“Langkah ini akan mengelakkan kewujudan anak syarikat yang tidak produktif atau bertindih fungsi, seterusnya mengurangkan beban kewangan kepada kerajaan,” ujarnya.
Jais berkata, semua pihak perlu bekerjasama agar langkah-langkah itu dapat dilaksanakan dengan segera dan dipantau secara berkala bagi memastikan matlamat reformasi tercapai.
“Kami menyeru semua pihak untuk memberikan kerjasama penuh dalam menjayakan agenda transformasi ini demi kebaikan rakyat dan negara,” katanya.
“Kami percaya langkah ini akan menyumbang kepada usaha pembaharuan institusi dan tadbir urus yang lebih baik,” katanya.