KUALA LUMPUR: Perintah larangan terhadap pendakwah kontroversi dari India, Zakir Naik sudah ditarik semula dan kini beliau sudah boleh menyampaikan ceramah di Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, larangan yang dibuat sebelum ini oleh pihak berkuasa adalah disebabkan siasatan yang dijalankan berhubung dua insiden melibatkan Zakir pada 2019.
Oleh kerana itu, kata beliau, pihak berkuasa mengenakan larangan untuk Zakir berceramah di negara ini.
“Saya baru semak semula (dan) sekarang (mendapati) sudah tidak ada larangan tersebut.
“(Larangan tersebut) hanya merujuk kepada tempoh siasatan terhadap dua kenyataan yang dikeluarkan beliau dalam ucapannya (dan) kalau tak silap (saya ia berlaku) di Kota Bharu dan Perlis,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang membangkitkan isu larangan tersebut sama ada ia sudah dibatalkan atau sebaliknya kerana Zakir pada baru-baru ini menyampaikan ucapan dalam satu majlis di Perlis.