PETALING JAYA: Sebahagian laporan polis yang dibuat terhadap syarikat pengendali umrah Hejira Travel & Tours Holding Sdn. Bhd. (Hejira) turut dirujuk kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sebagai agensi penguat kuasa yang bertanggungjawab melaksanakan tindakan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sehingga 7 Februari 2025, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menerima 141 laporan polis berkaitan syarikat berkenaan dengan jumlah kerugian yang dilaporkan mencecah RM3,015,412.
“Siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sedang dijalankan berkaitan laporan-laporan polis yang diterima.
“Namun, memandangkan syarikat tersebut berdaftar dan dilesenkan oleh Motac bagi menjalankan aktiviti umrah dari tahun 2023 sehingga Mac 2027, sebahagian laporan turut dirujuk kepada kementerian itu sebagai agensi yang bertanggungjawab menguatkuasakan peraturan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menegaskan siasatan PDRM di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan tetap diteruskan walaupun terdapat laporan yang dirujuk kepada Motac.
“Kenyataan yang dikeluarkan oleh aktivis Mind Pro Management yang mendakwa tiada siasatan dijalankan adalah tidak benar dan tidak bertanggungjawab. Kenyataan sebegini boleh memberikan persepsi buruk terhadap PDRM,” tegasnya.
Menurutnya, undang-undang negara ini memperuntukkan kuasa siasatan yang berbeza kepada agensi penguat kuasa yang berlainan.
“Oleh itu, kesalahan yang tertakluk di bawah undang-undang tertentu hendaklah disiasat oleh agensi yang dipertanggungjawabkan agar tindakan yang lebih tepat dan sesuai dapat dilaksanakan.
“PDRM memberi jaminan bahawa akan menjalankan siasatan secara telus dan profesional bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan bagi semua pihak yang terlibat,” katanya.