PETALING JAYA: Kunjungan hormat Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar, Tan Sri Othman Hashim terhadap Perdana Menteri bagi membincangkan usaha penyelesaian konflik yang berlarutan di negara itu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai langkah-langkah yang boleh diambil bagi memastikan keamanan di Myanmar.
Katanya, ia termasuk keperluan untuk melibatkan semua pihak berkepentingan dalam rundingan secara berhati-hati dan mengikut kesesuaian semasa.
“Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, adalah sangat mustahak untuk menjamin dan memastikan wujudnya keamanan di negara itu.
“Keamanan tersebut perlu dicapai melalui keterlibatan semua pihak berkepentingan dengan menggunakan pendekatan yang penuh berhati-hati mengikut kesesuaian semasa,” katanya menerusi hantaran media sosial, semalam.
Menurut Anwar, ASEAN perlu memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan serantau dengan terus melibatkan semua pihak dalam usaha damai bagi menangani krisis yang berlaku di Myanmar.
Myanmar terus bergelut dengan krisis politik dan kemanusiaan sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 yang membawa kepada gelombang protes serta konflik bersenjata antara pihak tentera dan kumpulan penentang. – UTUSAN