Kumpulan gajah hanya 10 meter dari rumah - Utusan Malaysia

Kumpulan gajah hanya 10 meter dari rumah

BEBERAPA penduduk menunjukkan pagar yang rosak dirempuh gajah di Felda Neram II, Kemaman, Terengganu. – UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Kira-kira 1,000 penduduk di Felda Neram II di sini, hidup dalam kebimbangan selepas sekumpulan gajah berkeliaran dan menceroboh ke kawasan kampung sejak Isnin lalu sehingga muncul berdekatan rumah mereka.

Kumpulan haiwan liar itu turut memusnahkan pagar belakang rumah dan tanaman pisang serta kelapa milik penduduk.

Seorang penduduk, Narul Amirul Ali, 41, berkata, Isnin lalu, dia yang sedang lena tidur terjaga kira-kira pukul 3 pagi selepas mendengar bunyi bising di belakang rumahnya.

“Saya mendengar bunyi pokok jatuh dan bila intai melalui tingkap, saya dapati beberapa ekor gajah sedang memusnahkan pokok pisang dan tanaman lain di belakang rumah.

“Saya sangat terkejut melihat gajah di depan mata sebab tak pernah haiwan ini pada jarak dekat. Saya memang takut sebab bimbang keselamatan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di kampung itu.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Azrul Mohd. Noor, 34, pula tidak menyangka gajah kembali menceroboh kawasan perkampungan itu selepas kali terakhir pada September 2023.

“Jika kawasan ladang sawit memang gajah biasa masuk sebab kawasan itu berhampiran hutan. Ini merupakan kali kedua kampung ini diceroboh gajah.

“Dalam kejadian Isnin lalu, kumpulan gajah itu masuk ke kawasan kampung dengan jarak kira-kira 10 meter dengan rumah kami. Saya memang tak lena tidur malam dan mengambil keputusan berjaga sehingga awal pagi sebab bimbang gajah kembali ke kawasan rumah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Per­hilitan) negeri, Loo Kean Seong berkata, pihaknya sedang membuat pemantauan dan kawalan di kawasan tersebut bagi memastikan kumpulan haiwan berkenaan tidak memasuki kawasan penempatan penduduk.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya