SEREMBAN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melihat kesesuaian pembinaan bangunan sekolah setinggi 17 tingkat yang perlu mengambil kira soal keselamatan pelajar.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sebenarnya sekolah bertingkat telah dilaksanakan di peringkat KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).
“Ada beberapa sekolah yang dibina secara bertingkat, paling tinggi 10 tingkat dan memang sudah ada di Wilayah Persekutuan.
“Setakat ini sekolah paling tinggi di kawasan Wilayah Persekutuan adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Sentosa.
“Tidak ada masalah sebenarnya kerana kita memahami isu-isu berkait rapat di peringkat Wilayah Persekutuan dan sekolah bertingkat ini bukan satu perkara baharu dilaksanakan.
“Kita kena tengok dari semasa ke semasa berkaitan kesesuaian untuk anak-anak dan keselamatan,” katanya ketika sidang media di Majlis Peluncuran dan Karnival Generasi Madani Kementerian Pendidikan Tahun 2025 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai di sini, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang membangunkan sekolah dengan konsep menegak, menempatkan bangunan dua blok dengan kapasiti antara 10 hingga 17 tingkat di sekitar pusat bandar raya.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, syor itu bagi memenuhi keperluan tanah terhad serta pertambahan penduduk di ibu negara.
Mengulas isu kepadatan kelas, Fadhlina berkata, KPM telah menangani sebahagian sekolah yang mempunyai isu kepadatan tinggi khususnya di Selangor dengan mensyorkan pembinaan kelas kabin dengan model Sistem Bina Berindustri (IBS).
“Ia sebenarnya sangat memberi kesan kesan kondusif untuk suasana pembelajaran dan mampu menangani masalah jangka masa pendek berkaitan kepadatan kelas,” katanya.