PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memantau dengan ketat isu penjaja dan peniaga kecil di luar premis sekolah susulan insiden seorang murid darjah empat yang maut selepas tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), penjaja tidak dibenarkan untuk melakukan aktiviti penjualan dalam radius 40 meter daripada pagar sekolah.
“Telah ada garis panduan yang dikeluarkan oleh kementerian berkaitan iaitu KPKT dan KKM bahawa penjaja tidak boleh berniaga dalam radius 40 meter daripada pintu pagar dan keseluruhan pagar sekolah. Itu adalah undang-undang dan peraturan yang telah ditentukan oleh KPKT dan KKM.
“Kita di peringkat sekolah ambil maklum dan kita sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan juga KKM untuk memastikan perkara ini dipatuhi.
“(Ini kerana) kita tiada kuasa untuk menutup atau mengusir penjaja, itu adalah kuasa PBT dan KKM,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia di sini hari ini.
Bagaimanapun, menurut Azman, KPM selama ini telah mengambil langkah-langkah yang wajar terutamanya dalam mendidik dan memberi kesedaran terhadap murid dan pelajar sekolah mengenai kepentingan untuk membeli makanan yang betul di tempat yang betul.
Jelasnya, kantin-kantin di sekolah juga tidak menjual makanan ringan seperti gula-gula kenyal tersebut.
“Isu yang melibatkan kes berkaitan sebenarnya adalah bukan dalam kawalan kita kerana anak-anak ini bersekolah di sebelah petang (iaitu) sekolah KAFA yang berada di bawah kawalan kerajaan negeri.
“Tapi, KPM akan sentiasa melihat perkara ini sebagai keutamaan untuk memastikan isu seperti ini tidak akan berulang kembali.
“Malah di kantin kita pun tiada makanan yang dijual seperti ‘gummy ball’. Maknanya, dasar kita jelas, ada yang boleh ada yang tak boleh tapi apa yang dijual oleh peniaga di luar pintu pagar itu sebenarnya ialah makanan yang telah digazetkan oleh KKM sebagai tidak boleh dijual,” ujarnya.
Terdahulu, murid Tahun 4 yang dilaporkan kritikal di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata dalam kejadian pada Selasa lalu, meninggal dunia malam tadi.
Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik HPP menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 11 malam.