PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengimport dan mengedarkan sejumlah 661,761 biji kelapa tua bagi menangani kekurangan bekalan kelapa sejak kebelakangan ini.
Kementerian itu dalam kenyataan berkata, usaha berkenaan akan diteruskan sehingga bekalan kelapa dalam negara kembali stabil dan jumlah keseluruhan kelapa tua yang diimport bersamaan 661 metrik tan dengan nilai keseluruhan RM1.45 juta.
Katanya, bekalan ini telah ditempatkan di pusat pengedaran utama seperti Pusat Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Dengkil, Selangor, Pusat Operasi FAMA Senawang, Negeri Sembilan dan Pusat Operasi FAMA Simpang Pulai, Perak.
“Bekalan ini akan disalurkan melalui 42 Pusat Operasi FAMA di seluruh negara dan dipasarkan ke outlet peruncitan FAMA serta pemborong utama bagi memastikan ketersediaan bekalan di pasaran.
“Antara negara yang mengeksport kelapa tua ke Malaysia adalah Indonesia, Thailand dan Sri Lanka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah kementerian sama lagi, Jabatan Pertanian melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) melaksanakan beberapa inisiatif termasuk penanaman semula dan penanaman baharu kelapa, penghasilan pelbagai anak benih kelapa daripada varieti berproduktiviti tinggi seperti kelapa MATAG, Pandan, Malayan Yellow Dwarf (MYD) dan Malayan Red Dwarf (MRD).
Kementerian itu berkata, ia merupakan langkah jangka masa panjang untuk memastikan bekalan kelapa dalam negara konsisten.
“Kawasan tanah yang telah dikenal pasti melalui kerjasama Kerajaan Negeri dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan digunakan untuk penanaman kelapa bagi meningkatkan pengeluaran domestik.
“LPP telah melaksanakan 43 projek penanaman kelapa yang diusahakan bermula tahun 2016 di seluruh negara dengan keluasan seluas 643.42 hektar berkapasiti 123,426 pokok kelapa,” katanya. – UTUSAN