SETIU: Sepasang suami isteri meraih pendapatan sampingan lebih RM5,000 dalam tempoh tiga minggu dengan menawarkan khidmat taman tema bergerak ke rumah.
Ahmad Zulfadlie Ab. Rahman, 36, dan Rosmawani Ismail, 34, mula menceburi perniagaan itu sejak awal Januari lalu selepas menyedari perkhidmatan belon supa dupa itu mendapat permintaan tinggi.
Ahmad Zulfadlie berkata, pada awalnya dia sering menyewa perkhidmatan itu dari Kelantan untuk dipasang di rumahnya pada harga RM380 satu hari sebagai hiburan anak-anak ketika cuti persekolahan.
“Setelah itu saya berfikir untuk membeli belon supa dupa ini untuk anak-anak bermain, tetapi apabila dimuat naik dalam media sosial, ramai kawan-kawan bertanya mengenainya.
“Bermula daripada situ tercetusnya idea untuk memulakan perkhidmatan taman tema bergerak ke rumah pelanggan dengan bayaran serendah RM200 hingga RM580 sehari mengikut pakej yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui di Kampung Fikri di sini.
Katanya, sepanjang cuti persekolahan lalu, mereka menerima lebih 20 tempahan pelanggan dari tiga daerah iaitu Besut, Setiu dan Kuala Nerus.
Menurutnya, tempahan banyak diterima daripada golongan ibu bapa yang berkerjaya profesional, yang mana kesibukan bekerja menyebabkan mereka tidak sempat membawa anak bercuti.
“Dengan khidmat ini ibu bapa tidak perlu mengeluarkan belanja besar untuk membawa anak-anak ke taman tema dan hanya perlu menyewanya di rumah sahaja.
“Selain itu, mereka juga dapat memantau dan menjamin keselamatan anak-anak tanpa perlu bercampur dengan orang ramai,” katanya.-UTUSAN.