KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengesahkan peningkatan kes kanser setiap tahun di negeri ini berpunca daripada tahap kesedaran kesihatan yang rendah dalam kalangan penduduk.
Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, situasi itu menyebabkan proses merawat penyakit itu menjadi lebih mencabar.
Menurutnya, kanser payudara, usus, paru-paru, darah, hati, prostat dan ovari antara penyakit yang popular serta menyerang penduduk di negeri ini.
“Berdasarkan statistik dalam tempoh tiga tahun, penghidap kanser seluruh Kelantan yang meningkat, pada tahun 2021 sebanyak 1,183 kes, 2022 (1,468 kes) dan 2023(1,616 kes).
“Daripada data yang diperolehi, sebanyak 50 peratus mereka yang mendapatkan rawatan merupakan penghidap kanser tahap tiga dan empat manakala di Kelantan kanser payudara merupakan penyumbang tertinggi,” katanya kepada pemberita selepas Program Sambutan Hari Kanser Sedunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini yang dirasmikan oleh
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Abdul Rahman Yunus.
Mengulas lanjut, Dr. Zaini memberitahu, penubuhan Pink Ribbon Centre (PRC) di HRPZ II akan memberi nilai tambah dalam membantu pesakit kanser payudara mendapat rawatan yang lebih holistik.
Katanya, PRC mendapat kerjasama dengan Canser Research Malaysia (CRM) yang tampil memberi sumbangan insfrastruktur termasuk peralatan pengesan kanser serta jururawat khas yang mahir untuk merawat pesakit kanser.
“PRC turut menawarkan khidmat seisi kaunseling, pemeriksaan oleh pakar, ultra sound kanser payudara, mamogram serta biopsi.
“Pesakit juga tidak perlu mendapat tarikh temujanji untuk mendapat rawatan dan mereka hanya boleh hadir secara bersemuka,” ujarnya.-UTUSAN