Kes bunuh Farah Kartini: Arahan izin pindah kes pada 28 Mei

Kes bunuh Farah Kartini: Arahan izin pindah kes pada 28 Mei

MUHAMMAD Alif Monjani (tengah) yang didakwa membunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah semasa tiba di Mahkamah Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KUBU BHARU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 28 Mei bagi arahan izin untuk memindahkan kes anggota polis berpangkat Lans Koperal, Muhammad Alif Monjani yang didakwa membunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menetapkan tarikh tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya, Eirene Nabila Amani Williams-Hunt memaklumkan telah menerima dokumen lengkap termasuk laporan kimia dan laporan patologi.

“Bagi kes ini, laporan-laporan semua sudah tersedia. Jadi saya mohon satu tarikh lanjut untuk izin dakwa,” katanya.

Peguam bela, Nur Aida Zainuddin, yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan masa yang lebih panjang.

Mengikut pertuduhan, didakwa menyebabkan kematian seorang graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, 26, di antara 10 Julai, pukul 9 pagi dan 15 Julai 2024, pukul 6 petang di Ladang SKC Kledang, Hulu Selangor di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.

Sebelum ini, mahkamah menangguhkan kes pembunuhan itu pada 10 Disember dengan alasan pihak pendakwaan masih belum memperoleh laporan kimia bagi kes tersebut.

Pada 26 Julai lalu, Muhammad Alif Monjani, 27, didakwa telah menyebabkan kematian seorang graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, 26.

Dia didakwa melakukan perkara itu di antara 10 Julai, pukul 9 pagi dan 15 Julai 2024, pukul 6 petang di Ladang SKC Kledang, Hulu Selangor di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali.

Nur Farah Kartini, yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemukan meninggal dunia di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Felda Gedangsa, Hulu Selangor.

Mayatnya ditemukan kira-kira pukul 6 petang, 15 Julai lalu dipercayai dibunuh individu dikenali dan susulan itu, polis menahan anggota polis berpangkat lans koperal berusia 26 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN