KLUANG : Seorang wanita bersama bayi dalam kandungannya maut akibat mengalami pendarahan dan kecederaan selepas kenderaan dipandunya terlibat dalam kemalangan di Lorong Mohd Salim 1 di Kampung Melayu dekat sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian dilaporkan berlaku pukul 2.15 petang ketika Siti Aisyah Harun, 32, yang memandu kereta Produa Myvi hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar tembok rumah ketika dalam perjalanan daripada Kampung Melayu ke bandar Kluang bersama seorang wanita Siti Aishah Rahimi, 28, dengan menaiki kereta Produa Myvi.
Katanya, pada pukul 4.11 petang hari ini pihak polis telah menerima laporan daripada seorang pengadu, Ammar Harun, 30, bahawa anak dalam kandungan Siti Aisyah yang berusia 35 minggu telah meninggal dunia dan dikeluarkan daripada kandungan pukul 8 malam tadi.
“Siti Aisyah yang juga kakak pengadu kemudiannya turut dilaporkan meninggal dunia pada pukul 2 petang hari ini selepas kira-kira 24 jam berlaku kemalangan ketika mendapat rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.
“Siti Aishah Rahimi yang turut berada dalam kereta Produa Myvi itu bagaimana pun hanya mengalami kecederaan ringan di lengan kiri serta luka di dahi kanan dan mendapat rawatan di hospital sama,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin lagi, siasatan awal mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu kenderaan manakala kereta sudah pun dialihkan daripada lokasi kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN