SHAH ALAM: Kerajaan negeri menyambut baik cadangan syarat baharu pemberian permit oleh Polis Selangor berhubung penganjuran konsert dan aktiviti hiburan supaya ia dianjurkan secara lebih sihat dan bermanfaat.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, kerajaan negeri tiada halangan untuk menggalakkan penganjuran aktiviti yang lebih sihat supaya dapat menjana ekonomi khususnya ketika kempen Tahun Melawat Selangor (TMS) pada tahun ini.
“Dari segi aktiviti memang kita galakkan yang sihat supaya sektor itu terus berjalan. Kita tidak mahu ganggu industri itu dan harus ambil maklum juga industri tersebut memberi sumbangan kepada pelancongan Selangor.
“Tahun ini adalah Tahun Melawat Selangor, kita menggalakkan lebih banyak persembahan yang boleh menghiburkan dan mendatangkan kebaikan kepada masyarakat dan boleh menjana ekonomi,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Polis Selangor mencadangkan penganjur konsert meletakkan papan tanda ‘tidak kepada dadah’ sebagai salah satu syarat baharu dalam kelulusan permohonan permit bagi penganjuran aktiviti itu di negeri ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perkara itu dikemukakan pihaknya kepada kerajaan negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) awal bulan ini.
Ia susulan penganjuran Konsert Pinkfish pada awal tahun ini yang mengakibatkan empat maut selepas disyaki mengambil dadah ketika menghadiri sambutan ambang tahun baharu itu.
Jelas Suee Lim lagi, di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) permohonan lesen bagi penganjuran konsert diperketatkan.
“PBT boleh teliti kalau sesuatu kawasan itu melibatkan fasiliti PBT, boleh mereka letak (papan tanda larangan), tetapi bagi pihak polis jika mereka hendak perketatkan prosedur operasi standard (SOP), kita alu-alukan,” ujarnya. – UTUSAN