PETALING JAYA: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mahu kerajaan melaksanakan segera pengisytiharan harta membabitkan anggota pentadbiran kerajaan seperti yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) pada 6 Julai 2023.
Pengisytiharan harta itu perlu membabitkan menteri, timbalan menteri dan semua setiausaha politik di seluruh kementerian.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, setelah setahun mesyuarat JKKMAR berlalu namun masih tidak ada perkembangan jelas berhubung pelaksanaan inisiatif tersebut oleh kerajaan.
Katanya, kelewatan pelaksanaannya memberi isyarat negatif kepada rakyat, seolah-olah kerajaan tidak bersungguh-sungguh untuk memastikan ketelusan dan integriti dalam pentadbiran.
“Pengisytiharan harta merupakan langkah asas dan penting bagi memastikan akauntabiliti pemimpin, mengelakkan penyalahgunaan kuasa, serta menutup ruang pengumpulan kekayaan yang mencurigakan.
“MCW juga menekankan bahawa format baharu pengisytiharan harta yang telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) pada 8 Januari tahun lalu perlu segera dimuktamad dan dikuatkuasakan tanpa alasan atau penangguhan.
“Kerajaan tidak boleh terus berdolak-dalik kerana kelewatan ini hanya akan menimbulkan keraguan rakyat terhadap kesungguhan kerajaan dalam tindakan membanteras rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan wajar menjadi teladan di mata dunia sebagai sebuah pentadbiran berintegriti tinggi.
Tambahnya, pelaksanaan pengisytiharan harta adalah tanggungjawab moral dan semua pemimpin politik negara justeru kerajaan perlu komited dalam agenda reformasi dan tatakelola baik.
“Sehubungan dengan itu, MCW mendesak agar kerajaan menetapkan garis masa yang jelas untuk melaksanakan pengisytiharan harta bagi semua anggota pentadbiran dengan menggunakan format baharu yang lebih telus dan berkesan dimuktamadkan dengan segera.
“Pengisytiharan harta yang dibuat boleh diakses oleh badan berkaitan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan masyarakat sivil bagi memastikan pemantauan yang bebas serta berkesan,” katanya. – UTUSAN