Kerajaan dicadang perkenal insurans kesihatan nasional - Utusan Malaysia

Kerajaan dicadang perkenal insurans kesihatan nasional

AMRAHI BUANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memperkenalkan skim insu­rans kesihatan nasional (NHI) sebagai mekanisme perkongsian kos yang lebih adil antara sektor awam dan swasta.

Pelaksanaan skim itu bertujuan menangani peningkatan premium insurans kesihatan dan caj hospital swasta yang membebankan rakyat, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan awam yang semakin sesak.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Prof. Amrahi Buang berkata, kenaikan kos perubatan di sektor swasta bukan sahaja menyukarkan akses rakyat kepada rawatan berkualiti malah memaksa lebih ramai pesakit beralih ke hospital kerajaan.

Katanya, NHI mampu menjadi penyelesaian holistik bagi memastikan rakyat mendapat rawatan berkualiti serta mengimbangi kos rawatan antara hospital kerajaan dan swasta.

“Apabila harga rawatan swasta terus meningkat tanpa kawalan, rakyat yang tidak mampu akan memilih hospital kerajaan sebagai alternatif.

“Situasi ini memberi teka­nan kepada sistem kesihatan awam yang sedang berdepan dengan isu kesesakan, ke­ku­rangan tenaga kerja serta tempoh menunggu yang panjang.

“Skim ini memastikan setiap rakyat mempunyai perlindu­ngan insurans kesihatan yang membolehkan mereka menda­patkan rawatan di hospital ke­rajaan atau swasta tanpa terbeban dengan kos tinggi,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Kelmarin, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan kerajaan mempertimbangkan penggunaan syarikat tempatan bagi mengurangkan beban pengurusan sistem kesihatan.

Amrahi menambah, pelaksanaan skim ini dapat mengawal kos perubatan rakyat dengan menetapkan kadar rawatan lebih terkawal dan memastikan tiada kenaikan caj melampau di hospital swasta.

“Ia juga boleh mengurangkan kesesakan hospital kerajaan dengan membolehkan pesakit mendapatkan rawatan di hospital swasta melalui mekanisme insurans lebih mampu milik.

“Secara tidak langsung, skim ini dapat memberi perkongsian beban kewangan lebih adil antara kerajaan, penyedia insurans, hospital swasta dan rakyat,” katanya.

Selain itu, Amrahi menggesa kerajaan supaya melaksanakan rangka kerja harga lebih telus bagi memastikan semua pihak terlibat bertanggungjawab terhadap kos yang dikenakan.

Katanya, sebarang kenaikan harga premium insurans atau caj hospital perlu mempunyai justifikasi yang jelas dan dilakukan secara telus.

“Peningkatan kos tidak bo­leh membebankan rakyat kerana penyedia perkhidmatan kesihatan swasta telah mencatat keuntungan yang tinggi.

“Satu model pembiayaan kesihatan berasaskan nilai per­lu diwujudkan di mana per­belanjaan kesihatan dinilai me­lalui hasil rawatan dan bukan dinilai melalui jumlah perkhidmatan diberikan.

“Paparan harga ubat-ubatan juga merupakan permulaan yang baik untuk memastikan ketelusan dalam sebarang caj yang dikenakan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya