SUNGAI BULOH: Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan menegaskan pilihan raya mengejut berkemungkinan besar tidak akan berlaku dalam masa terdekat.
Beliau berkata, hak untuk membubarkan parlimen terletak pada tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sehingga hari ini, tiada sebarang arahan atau keputusan dibuat berhubung perkara tersebut.
Jelasnya, kenyataan demikian hanyalah satu bentuk permainan politik semata-mata yang akhirnya akan merugikan rakyat.
“Ini adalah satu permainan politik yang tidak baik. Jika benar mahu membuat persiapan untuk pilihan raya, tunggulah Perdana Menteri bubar Parlimen dahulu.
“Buat masa ini, lebih baik kita fokus kepada rakyat dan apa yang boleh dilakukan untuk mereka. Jangan cuci tangan daripada tanggungjawab yang telah diberikan.
“Tidak boleh sekadar berkata mahu buat persiapan untuk pilihan raya, kerana rakyat bukan mudah diperdaya,” katanya pada sidang akhbar Program Jangkauan Komuniti Madani Bank Rakyat di sini, hari ini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan kenyataan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa kemungkinan pilihan raya mengejut pada hujung tahun ini hanyalah satu gimik politik.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut berpandangan bahawa kenyataan tersebut hanyalah helah Bersatu untuk menarik perhatian rakyat kepada parti itu.