Kembar kembali senyum selepas disatukan dalam kelas - Utusan Malaysia

Kembar kembali senyum selepas disatukan dalam kelas

KEMBAR seiras, Nuradelia (kanan) dan Nuradena Mohd. Shahrizal memulakan alam persekolahan di SK Dato’ Wan Kemara, Changlun di Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Sepasang kembar mencuri perhatian warga Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara di Changlun hari ini apabila kembali ceria selepas disatukan semula dalam kelas sama.

Nuradelia dan Nuradena Mohd. Shahrizal, 7, pada mulanya kelihatan tidak mahu diasingkan bilik darjah ketika mereka antara 217 murid tahun satu yang mendaftar di sekolah itu.

Ibu mereka, Sabirah Hamdi, 40, berkata, anak kembarnya itu enggan berpisah sehingga pihak sekolah terpaksa menempatkan mereka di kelas yang sama.

“Saya memang risau kerana anak-anak saya tidak dapat dipisahkan dan terpaksa meminta mereka diletakkan dalam kelas yang sama iaitu ‘1 Talented’. Alhamdulillah, apabila duduk kelas yang sama mood kedua-duanya kembali ceria.

“Di rumah pun mereka buat kerja sama-sama dan bila masuk alam persekolahan ini saya berharap kedua-dua akan dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu,” katanya ketika ditemui di pekarangan sekolah berkenaan hari ini.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Ismail Othman berkata, seramai 29,934 orang murid tahun satu menjadi sebahagian daripada 349,966 murid dan pelajar yang memulakan sesi akademik 2025/2026 di negeri ini.

Katanya, mereka mula menjejakkan kaki ke alam persekolahan di 548 buah sekolah rendah di seluruh negeri yang kembali dibuka untuk penggal seterusnya.

Sementara itu Sabirah berkata, Nuradelia dan Nuradena tetap teruja untuk memulakan persekolahan malah sudah siap sedia membuat persiapan peralatan sekolah sejak sebulan lepas.

“Mereka tidak ada masalah untuk ke sekolah kerana sudah ke tadika sebelum ini, malah tidak sabar ke sekolah. Pagi ini pun pukul 5.30 pagi sudah bangun.

“Persediaan untuk mereka sudah lama disiapkan. Memandangkan kembar, saya terpaksa membeli peralatan yang berbeza warna, supaya guru pun senang kenal mereka,” katanya yang mempunyai empat anak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya