KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyalurkan sebanyak RM110,500 wang insentif bagi meraikan pencapaian cemerlang atlet-atlet para negeri pada temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) ke 21 di Sarawak, tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM85,500 dibelanjakan bagi meraikan 28 atlet yang berjaya meraih 15 pingat emas, 11 perak dan 17 gangsa.
“Selebihnya, kita (kerajaan negeri) turut menyediakan RM25,500 sebagai insentif kepada 16 pegawai sokongan dari Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Kelantan yang mengiringi atlet para negeri pada kejohanan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Insentif Pencapaian Cemerlang Kontinjen Para Sukma XXI Sarawak 2024 Negeri Kelantan di Tunjung, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zamakhshari memberitahu, Kelantan sudah membuat persediaan awal menghadapi Sukma ke-22 di Selangor pada tahun 2026 nanti.
Katannya, Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan telah diberi mandat untuk membuat persiapan bermula dengan pemilihan jurulatih baharu dan atlet.
“Saya sendiri akan memantau perkembangan persiapan untuk Sukma ke-22, namun setakat ini belum ada sebarang sasaran ditetapkan kerana perkara itu akan dibincangkan kemudian nanti. Apa pun pastinya kita mahukan pencapaian lebih cemerlang bagi kontinjen Sukma dan Para Sukma Kelantan.
“Walaupun Sukma ke-22 pada tahun depan dianggap persediaan untuk Sukma ke-23 pada tahun 2028 yang mana Kelantan akan menjadi tuan rumah, kita akan tetap bersungguh-sungguh dan kemungkinan akan ada penggabungan antara atlet senior serta pelapis,” ujarnya.-UTUSAN