PETALING JAYA: Peningkatan tinggi terhadap vaksin influenza di peringkat antarabangsa mengakibatkan stok vaksin di pasaran tempatan berkurangan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, kekurangan stok vaksin influenza berlaku disebabkan kematian mengejut pelakon Taiwan, Barbie Hsu akibat pneumonia yang berkaitan influenza telah mengejutkan masyarakat di Asia Timur.
Bagaimanapun, katanya, kekurangan stok itu hanyalah bersifat sementara manakala bekalan vaksin untuk jangka sederhana di pasaran tempatan masih mencukupi bagi tujuan pelaksanaan pelan imunisasi sedia ada termasuk jemaah haji.
“Program Perkhidmatan Farmasi KKM sedang mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan bekalan vaksin di pasaran tempatan pulih secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
KKM berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membuat anggaran influenza bermusim menyebabkan 290,000 hingga 650,000 kematian setiap tahun.
Katanya, data oleh Agensi Keterjaminan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) menunjukkan sekurang-kurangnya 18,000 kematian terkait influenza direkodkan sepanjang dua musim sejuk antara 2022 dan tahun 2024 di United Kingdom.
“Oleh itu, adalah menjadi amalan lazim untuk golongan berisiko tinggi diberikan vaksin influenza sebelum bermulanya musim sejuk di negara itu supaya mereka yang dijangkiti tidak mengalami komplikasi serius dan sistem kesihatan awam negara berkenaan tidak terbeban akibat sebarang gelombang jangkitan,” katanya.
Susulan itu, KKM memaklumkan warga emas yang berusia 60 tahun ke atas akan menikmati vaksin influenza secara percuma bermula 18 Februari ini.
Katanya, ia adalah pengembangan skop Program Imunisasi Influenza sedia ada sejak 2006 yang menyasarkan petugas kesihatan barisan hadapan KKM.
“Program vaksinasi secara sukarela ini adalah langkah progresif yang bakal memanfaatkan lebih 170,000 warga emas berisiko tinggi.
“Ia juga selari dengan Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas (PTPKWE) 2023-2030 yang dilancarkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada 1 Oktober 2024,” katanya.
Katanya, perluasan program imunisasi itu bertujuan melindungi lebih ramai populasi berisiko tinggi daripada mendapat komplikasi serius akibat jangkitan influenza seperti pneumonia, radang jantung dan sepsis yang boleh menyebabkan kemasukan ke hospital atau kematian.
“Janji temu untuk mendapatkan vaksin boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera mulai 14 Februari ini, namun ia tertakluk kepada status agihan vaksin ke seluruh negara yang dibuat secara berfasa,” katanya.