MELAKA: Tragedi kebakaran yang meragut nyawa lima beranak dalam kejadian kebakaran rumah sewa mereka di Kampung Berangan Enam, Umbai dekat sini pada 13 Februari lalu dipercayai menjurus kepada faktor kemalangan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd. Pisar Aziz berkata, pihaknya telah membincangkan dapatan tersebut secara dalaman melalui Mesyuarat Pelaporan Penyiasatan kebakaran (Pelapek).
Katanya, punca sebenar kejadian tidak dapat didedahkan kerana masih menunggu laporan siasatan daripada dua agensi lain iaitu Jabatan Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita perlu duduk bersama kedua-dua agensi ini untuk melihat kaitannya dan memastikan (punca) yang sebenar. Setakat ini yang kita kenal pasti bersifat kemalangan.
“Kita masih tidak boleh dedahkan punca sebenar dan memerlukan sedikit masa sebelum pengesahan dibuat,” katanya pada sidang akhbar Majlis Perbarisan Tahunan 2025 JBPM Melaka di sini, hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan dalam kebakaran kira-kira pukul 1.30 pagi itu, Laila Fathinah Mustapa, 37 dan empat anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah,13; Izz Daffa Hafizuddin,7; Nur Dalilah Khadijah,6 dan Izz Danish Fathi empat tahun ditemui rentung selepas terperangkap akibat pintu berkunci.
Seorang lagi mangsa yang juga suami kepada Laila Fathinah, Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35, terselamat selepas merangkak keluar sebelum diselamatkan orang ramai.