Kasih seorang adik jaga kakak terlantar kanser usus

Kasih seorang adik jaga kakak terlantar kanser usus

NOR Yasmin Natasya (berdiri) menerima kunjungan Pengerusi Cancer Survivor Malaysia (CSM) Zuraini Kamal yang menziarah kakaknya, Nor Amira di Kampung Nawar, Pokok Sena.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POKOK SENA: Seorang wanita cekal menjaga kakaknya yang diserang kanser usus dan ketumbuhan pada hati, meskipun dia sendiri berdepan ujian besar apabila suaminya terpaksa dibuang sebahagian daging di kaki akibat penyakit kencing manis.

Nor Yasmin Natasya Azid, 29, yang tidak bekerja berkata, suaminya, Mohd. Saifullah Mazlan, 34, sudah lebih sebulan berada di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan pada masa sama dia membantu kakaknya, Nor Amira, 32, membersihkan diri selain menukar beg stoma yang digunakan setiap hari.

Katanya, dia juga perlu menguruskan dua anak berusia enam dan sembilan tahun manakala kakaknya menumpang sementara dengannya memandangkan abang iparnya, Muhamad Latif Abdullah, 38, perlu bekerja serta menguruskan anak-anak mereka yang bersekolah.

“Saya faham kepayahan dilalui keluarga kakak kerana suaminya yang bekerja sebagai pekerja am di sebuah kelab golf di Jitra, perlu mencari rezeki selain menguruskan anak-anak yang mula bersekolah semalam.

“Disebabkan itu, saya rela menjaga kakak di rumah. Lagi pun, di sekeliling sini ramai saudara-mara yang membantu termasuk ibu dan ayah kami yang tinggal bersebelahan.

“Sejujurnya dalam keadaan sekarang, saya sendiri hanya harap bantuan adik-beradik kerana suami tidak dapat mencari rezeki menjual ikan setelah kakinya bernanah sehingga sebahagian daging daripada buku lali ke betisnya terpaksa dibuang,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu Nor Amira bersyukur kerana adiknya sudi menjaganya memandangkan suami perlu berulang-alik ke rumah mereka di Kampung Wang Perah, Jitra untuk mencari rezeki serta menguruskan anak berusia 13 serta 10 tahun yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Hosba dan Sekolah Kebangsaan Binjai.

“Saya baru selesai menjalani pembedahan di HSB untuk membuang sebahagian usus pada 2 Februari lalu. Disebabkan itu, saya dan suami bersetuju untuk tinggal sementara di rumah adik bersama anak kami yang bongsu Nur Affira Danissa, 1.

“Suami adik masih tidak dapat bekerja bagi mencari nafkah manakala pendapatan suami saya hanya RM1,300 saja sebulan. Buat masa ini, kehidupan kami memang banyak dibantu saudara-mara termasuk ibu dan ayah yang menoreh getah serta menjual ikan secara kecil-kecilan menggunakan motosikal,” katanya.

Katanya, perbelanjaan diperlukan agak tinggi memandangkan dia perlu membeli beg stoma untuk kegunaan setiap hari selain susu khas yang mahal baginya seperti disarankan doktor.

“Untuk perbelanjaan sekolah anak-anak pun, kami bergantung kepada Bantuan Awal Persekolahan (BAP) selain Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Buat masa ini susu khas masih dibekalkan hospital namun sampai masanya saya perlu beli sendiri,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Nor Amira di talian 016-7417343 atau melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya, 0213041100076880.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya