SEGAMAT: Seorang kanak-kanak putus jari sewaktu meletakkan baju di dalam mesin basuh di Chaah, di sini baru-baru ini.
Menurut bapa mangsa, Hafizan Hamdan, 39, anaknya Hafiq Qayyum Samsuddin, 7, terputus ibu jari kanannya disyaki tali seluar tersangkut pada jari anaknya itu sewaktu mesin basuh berputar pada pukul 9.30 malam 12 Februari lalu.
“Sewaktu kejadian saya tiada di rumah. Anak saya memasukkan bajunya ke dalam mesin basuh yang sedang berputar.
“Selepas itu, dia berlari ke arah ibunya dengan mengatakan jarinya luka akibat mesin basuh. Sewaktu itu, isteri saya ingat hanya luka biasa lalu dia balut kerana tiada darah yang banyak keluar.
“Selepas itu, kami membawa anak ke Klinik Kesihatan Chaah malam itu dan doktor bertanya, jari ini putus, mana jarinya?”
“Isteri saya terkejut kerana dia ingat hanya luka seperti yang anak saya beritahu kerana tidak banyak darah yang keluar sewaktu kejadian,” katanya ketika ditemui di Perumahan Pekerja, Chaah hari ini.
Tambah Hafizan, anak ke-lima daripada enam adik-beradik itu dikejarkan ke Hospital Segamat bagi mendapatkan rawatan selanjutnya dan doktor memaklumkan dia memerlukan jari yang selebihnya itu untuk disambung semula.
“Saya pulang ke rumah sambil berdoa supaya ditemui jari itu dan alhamdulillah saya menemuinya di dalam saluran keluar air mesin basuh itu.
“Doktor cuba menyambungkan jari anak saya dalam satu pembedahan keesokkan harinya tetapi malangnya sudah terlambat kerana jari itu sudah kecut kerana terendam di dalam air mesin basuh.
“Keadaan anak saya stabil dan dia tidak menangis sepanjang prosedur dijalankan. Anak saya tidak bercerita apa sebenarnya berlaku sewaktu kejadian kerana saya rasa dia masih terkejut.
“Saya syak sewaktu dia meletakkan bajunya dalam mesin basuh, dia bermain dengan tali seluar yang sedang berpusing di dalam mesin basuh itu dan jarinya terbelit pada tali seluar berkenaan lalu dia rentap untuk mengeluarkan jarinya,” kongsinya.