PASIR PUTEH: Kegembiraan seorang kanak-kanak yang berkelah bersama ahli keluarga berakhir tragedi apabila mangsa lemas semasa mandi di kawasan lagun Sungai Semerak di sini hari ini.
Mangsa, Wan Mohd. Fahmi Wan Mohd. Fadhli, 12, yang berasal dari dari Kampung Kuau, Bachok di sini dijumpai lemas kira-kira pukul 12.22 tengah hari oleh anggota bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tok Bali, Che Azrul Azmeri Che Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai seorang kanak-kanak lelaki lemas di kawasan lagun itu kira-kira pukul 11.19 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai datang berkelah ke lokasi itu bersama keluarganya.
“Mangsa dikatakan mandi di sungai berkenaan yang terletak berhampiran sebuah resort sebelum lemas semasa berada di kawasan dalam.
“Operasi mencari mangsa membabitkan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tok Bali dan Unit Scuba Bomba,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Che Azrul Azmeri berkata, kanak-kanak itu dijumpai berhampiran lokasi mangsa mangsa dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, persekitaran lagun di Sungai Semerak merupakan antara lokasi bahaya untuk mandi kerana terdapat kawah yang dalam berbentuk V dengan tanah dasar berselut.-UTUSAN