KUANTAN: Seorang kanak-kanak lelaki cedera di bahagian betis dan paha akibat diserang sekumpulan anjing ketika sedang bermain basikal bersama abang dan rakannya di perumahan Taman PSJ Sungai Karang di sini, Rabu lalu.
Kesan serangan kira-kira lapan ekor anjing liar itu mengakibatkan Shah Adam Rifqi Shahirul, 12, dimasukkan ke hospital selama empat hari dan perlu mendapatkan rawatan susulan mencuci luka serta mendapatkan vaksin untuk empat kali.
Ibunya, Siti Norsuzana Hussin, 39, berkata, dia tidak menyangka anaknya menjadi mangsa gigitan anjing liar berkenaan ketika sedang bermain basikal.
Katanya, ketika kejadian dia berada di dalam rumah sebelum didatangi seorang lelaki membawa anaknya yang cedera akibat digigit anjing.
“Saya diberitahu anak saya yang diserang anjing cuba melawan menggunakan kayu. Secara kebetulan ada jiran perumahan ini yang melihat kejadian dan membantu menghalau haiwan berkenaan.
“Abangnya dan rakan-rakan tidak berani datang dekat kerana anjing itu berkumpulan, mujur ada orang dewasa ketika kejadian,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya, di sini semalam.
Menurut Siti Norsuzana, sebaik sahhaja tiba di hospital, anaknya diberikan rawatan segera selain perlu menjalani pembedahan merawat luka gigitan yang menelan masa kira-kira empat jam.
“Ketika saya menghantar anak saya mendapatkan rawatan ada kakitangan hospital beritahu anak saya merupakan kes yang kedua berlaku akibat digigit anjing dan saya dinasihatkan membuat laporan polis,” katanya.
Beliau berharap kejadian menimpa anak bongsu daripada tiga beradik itu tidak berlaku ke atas orang lain kerana selama 16 tahun tinggal di perumahan berkenaan, tidak pernah lagi berlaku kejadian sebegini.-UTUSAN.