KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak lelaki antara 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan dalam serbuan berasingan menerusi Ops Belanja/Selera/Kutip dan Sapu di sekitar daerah ini kelmarin serta semalam.
Kesemua PATI lelaki dan wanita yang ditahan itu masing-masing berusia antara dua hingga 53 tahun.
Pengarah Imigresen Kelantan Mohamed Yusoff Khan Mohd. Hassan berkata, bertindak atas maklumat risikan seramai 18 anggota telah dikerah untuk menggempur beberapa premis di tujuh lokasi iaitu Kampung Kubang Tumang, Kampung Gaung Pendek, Kampung Keling Limbat, Kampung Sireh, Kampung Kok Pasir, Kampung Babong dan Kampung Gong Dermin.
Menurutnya, serbuan itu membawa kepada tangkapan empat warganegara Thailand (4), China (4), Pakistan (1), Kemboja (2) dan Indonesia (1).
“Kesemua mereka ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohamed Yusoff Khan memberitahu, orang ramai terus dipohon tampil menyalurkan maklumat berkaitan PATI.
Katanya, JIM Kelantan akan bertindak tegas dan sama sekali tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang mendalangi, memudahcara dan bersubahat dalam melindungi PATI.-UTUSAN