KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri mengambil tindakan menurunkan kain rentang yang tertulis perkataan ‘Agama Hindu Agama Tauhid’ yang didakwa cuba menyebarkan ajaran sesat di sebuah rumah ibadat di Kemaman, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengambil tindakan segera itu setelah menerima laporan mengenai perkara tersebut.
Beliau berkata, kehadiran kain rentang itu disedari digantung di hadapan rumah ibadat tersebut pada 2 Februari lalu.
“Saya rasa isu ini terpencil dan tidak bersifat umum atau menyeluruh dan sebaik PBT menyedari tentang pemasangan satu kain rentang di Kemaman, pihak kita terus mengambil tindakan menurunkannya.
“Kita menjangkakan isu ini adalah isu picisan, ertinya bukanlah isu yang besar kerana ia sesuatu yang tidak berlaku pun di tempat-tempat yang lain (sebaliknya) hanya di Kemaman.
“Jadi kita tak boleh nak buat satu rumusan atau satu kesimpulan untuk keseluruhan negeri Terengganu ini, namun kita tetap memantau perkara ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Wan Sukairi berkata, pihaknya tidak memandang ringan isu berkenaan dan pemantauan sentiasa dilakukan bagi mengelak berlakunya penyebaran ajaran sesat di negeri ini.
Katanya, kerjasama masyarakat juga diperlukan dalam usaha mengekang penyebaran ajaran sesat di negeri ini.-UTUSAN