PETALING JAYA: Kadar pengangguran Malaysia pada Disember 2024 menurun kepada 3.1 peratus iaitu rekod terendah sejak sembilan tahun pada Mei 2015 iaitu 544,300 orang berbanding 546,700 orang pada bulan sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Jabatan Perangkaan dalam laporan terbaharu berkata, pasaran buruh negara terus menunjukkan pemulihan positif dengan peningkatan kadar penyertaan tenaga buruh kepada 70.6 peratus berbanding 70.5 peratus pada November 2024.
Katanya, jumlah tenaga buruh meningkat 0.1 peratus kepada 17.32 juta orang, dengan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) meningkat kepada 70.6 peratus.
“Bilangan tenaga buruh pada bulan Disember 2024 kekal berada pada trend menaik dengan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada 17.32 juta orang, merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi iaitu 70.6 peratus berbanding 70.5 peratus pada bulan yang lalu.
“Dalam tempoh yang sama, bilangan penduduk bekerja meningkat kepada 16.78 juta orang iaitu peningkatan sebanyak 0.2 peratus daripada 16.75 juta orang pada bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, jumlah penduduk di luar tenaga buruh turun sedikit sebanyak 0.04 peratus kepada 7.22 juta orang berbanding 7.23 juta orang pada November 2024, menunjukkan lebih ramai individu memasuki pasaran pekerjaan.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, kadar pengangguran belia berusia 15 hingga 24 tahun menurun kepada 10.3 peratus, dengan jumlah penganggur belia seramai 299,700 orang.
Katanya, bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun, kadar pengangguran susut kepada 6.1 peratus, dengan 410,800 penganggur direkodkan.
Malah, sebanyak sembilan negeri mencatatkan peningkatan dalam KPTB, menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran.
“Selain itu, Selangor dan Kedah mencatat kadar pengangguran terendah pada suku keempat 2024 iaitu 1.7 peratus, diikuti Melaka (1.8 peratus) serta Johor dan Pulau Pinang (2.2 peratus).
“Selangor juga merekodkan КРТВ tertinggi pada 76.4 peratus. Berdasarkan purata tahunan, KPTB pada 2024 meningkat kepada 70.4 peratus, naik 0.4 mata peratus daripada 2023.
“Kadar pengangguran keseluruhan turun kepada 3.3 peratus berbanding 3.4 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya.
Selain itu, Mohd Uzir berkata, dari segi sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan meningkat dengan stabil, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; kesenian, hiburan atay rekreasi; serta penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman.
Katanya, pada masa sama, sektor pembuatan, pembinaan dan pertanian juga mencatatkan pertumbuhan guna tenaga yang positif, manakala guna tenaga dalam sektor perlombongan dan pengkuarian berkurang pada bulan terbabit.
Mohd Uzir berkata, trend positif ini mencerminkan pemulihan ekonomi yang berterusan, dipacu oleh peningkatan aktiviti dalam pelbagai sektor pekerjaan serta inisiatif kerajaan dalam merancakkan pasaran tenaga kerja negara. – UTUSAN