Jurujual maut motosikal terlanggar memerang sebelum dirempuh kereta - Utusan Malaysia

Jurujual maut motosikal terlanggar memerang sebelum dirempuh kereta

MANGSA meninggal dunia di tempat kejadian akibat terjatuh selepas melanggar memerang yang melintas di Jalan Lencongan Barat, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang jurujual meninggal dunia selepas motosikalnya dipercayai terlanggar memerang yang melintas sebelum dia terjatuh dan dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Lencongan Barat, di sini.

Mangsa, Siti Nadhirah Anuar, 22, maut di lokasi kejadian akibat pelbagai kecederaan dalam nahas pada pukul 12.15 tengah malam tadi membabitkan motosikal Yamaha Ego Avantiz dan kereta Proton Wira.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kedua-dua kenderaan dari arah Sungai Jagung menghala ke Taman Nilam sebelum mangsa terlanggar seekor memerang yang sedang melintas.

“Motosikal mangsa hilang kawalan sebelum dia terjatuh ke bahagian kanan jalan dan kereta yang berada di belakangnya tidak sempat mengelak sebelum melanggarnya yang terbaring di tengah jalan.

“Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat. Manakala pemandu kereta berusia 20 tahun yang bekerja sebagai peniaga tidak mengalami sebarang kecederaan, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, kakak mangsa, Siti Sarah, 25, berkata, dia tidak menyangka kata-kata adiknya bahawa akan mati jika terlibat kemalangan kali ketiga menjadi kenyataan.

“Beberapa jam sebelum kejadian, saya memarahinya kerana dia bercakap begitu sebab dia pernah dua kali kemalangan sebelum ini. Selepas itu dia terdiam dan menangis sambil menunjukkan kesan lama luka dua kemalangan yang pernah dialami di bahagian kaki.

“Kira-kira pukul 2.30 petang semalam, dia keluar bermain boling bersama rakannya dan sempat meminta maaf kepada saya serta berjanji akan lebih berwaspada ketika berada di atas jalan raya.

“Saya hampir pengsan apabila lapan jam kemudian menerima berita dia maut dalam kemalangan jalan raya,” ujarnya.

Jenazah mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Tunggal selepas selesai proses bedah siasat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya