BESUT: Bermula sekadar mengisi masa lapang membuat kek marble, seorang warga emas dari Kampung Sri Medan di sini, mampu menjual hampir 300 biji kek itu dalam tempoh sebulan.
Che Jah Husin, 65, berkata, perniagaan itu dijalankannya setelah bersara sebagai guru Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sejak lima tahun lalu.
Katanya, meskipun usianya sudah lanjut, minat dalam bidang pastri tidak pernah luntur dan dia ingin orang ramai merasai air tangannya.
“Awalnya saya buat kek ini bagi menjamu tetamu dan rakan-rakan mengaji al-Quran di rumah tetapi setelah itu mereka meminta saya membuatnya sebagai jualan.
“Saya tak menyangka ia mendapat sambutan hangat kerana ketika ini terlalu banyak persaingan dengan pelbagai jenis kek moden yang terdapat di pasaran,” katanya ketika ditemui di Kampung Sri Medan.
Menurut Che Jah, dahulu kek marble antara ‘kek mewah’ yang banyak dijual sebelum kemunculan kek moden namun kini ia kembali sebagai ‘pencuci mulut’ di pelbagai majlis.
“Selain menerima tempahan, saya menghantar kek marble siap bungkus di gerai-gerai setiap pagi dengan dijual pada harga RM3 bagi satu bungkus. Bagi tempahan biasa kek dijual pada harga RM18 hingga RM35 mengikut saiz dan jenis kek yang diminta,” katanya.
Menurut Che Jah, penjualan kek marble bukan hanya memberi pendapatan sampingan kepadanya malah menjadi ‘terapi’ buat dirinya yang merupakan pesakit tumor perut.