PETALING JAYA: Program jerayawara pendidikan tinggi, Jom Masuk U 2025 (JMU 2025) akan memulakan siri jelajah ke 10 zon di seluruh Malaysia bermula 22 Februari hingga 18 Mei ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi kenyataan berkata, JMU 2025 bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai maklumat kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) serta menggalakkan mereka untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Program ini turut mempromosi pelbagai program pendidikan yang ditawarkan oleh Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) serta MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT).
“JMU 2025 menyasarkan pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Matrikulasi, Asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma/Setaraf agar dapat membantu mereka membuat pilihan tepat dalam melanjutkan pelajaran,” katanya.
Sementara itu, calon lepasan SPM dan STPM/Setaraf boleh membuat permohonan UPUOnline Fasa Pertama yang dibuka mulai 10 Februari 2025 (12.00 tengah hari) hingga 14 Mac 2025 (5.00 petang) dan 14 April 2025 hingga 18 Mei 2025 bagi permohonan Fasa Kedua.
“Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang JMU 2025, termasuk pameran dan sesi konsultasi UPUOnline, konsultasi penajaan, biasiswa, pinjaman dan bantuan kewangan pendidikan tinggi,” katanya.
Program ini juga menyediakan platform interaktif untuk pelajar mendapatkan maklumat secara langsung daripada wakil IPT dan kaunselor pendidikan.
“KPT mengalu-alukan penyertaan pelajar, ibu bapa, penjaga, guru, kaunselor dan orang awam dalam program ini.
“KPT turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pemohon UPUOnline sesi akademik 2025/2026 serta berharap JMU 2025 dapat membantu pelajar membuat keputusan bijak dalam merancang masa depan akademik mereka,” katanya.