JOHOR BAHRU: Johor bukan sahaja bercita-cita menjadi pengeluar produk makanan pertanian negara tetapi juga buat negara-negara antarabangsa khususnya di rantau ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, hasrat tersebut disokong statistik negeri ini selaku penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi sektor pertanian negara dengan nilai RM17.21 billion, setakat ini.
Menurut beliau, jumlah itu merupakan 17.1 peratus daripada KDNK kebangsaan dalam sektor terbabit.
“Kita komited sebagai ‘Food Basket’ Malaysia dan ‘Food Bank’ kepada negara serantau dan antarabangsa. Ini akan direalisasi dengan meningkatkan pengeluaran produk agromakanan serta merancakkan aktiviti eksport ke pasaran global.
“Bagi memastikan prestasi pengeluaran terus meningkat, kita akan bekerjasama dalam memberi tumpuan kepada bidang penyelidikan dan pembangunan khususnya untuk tanaman nanas, kelapa, durian, pisang dan betik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum itu, beliau mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup di ibu negara.
Tambah Onn Hafiz lagi, kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak RM18.48 juta tahun ini bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan pertanian dengan kerjasama termasuk beberapa agensi dan jabatan kerajaan.
“Kita turut merakam penghargaan kepada kerajaan Persekutuan yang memperuntukkan lebih RM21 juta dalam Belanjawan 2025 bagi mempergiat usaha dan program berkaitan keterjaminan makanan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan hasrat kerajaan negeri menjadi hab pengeluaran agromakanan utama negara boleh dicapai menerusi kerjasama dan sokongan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Selain itu, usaha ini turut mampu meningkatkan pendapatan petani dan pengusaha serta memastikan keterjaminan makanan lebih baik untuk rakyat Johor dan Malaysia,” tambahnya. – UTUSAN