JOHOR BAHRU: Johor komited memastikan sembilan sungai yang dikategorikan sebagai sungai tercemar di negeri ini dapat dibersihkan sepenuhnya.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sebanyak RM7 juta diperuntukkan untuk membersihkan Sungai Skudai dan Sungai Tebrau pada tahun ini.
“Daripada 14 sungai tercemar yang dilaporkan sebelum, kita telah kurangkan kepada sembilan, ini adalah satu trend positif.
“Justeru, kita perlu terus berusaha dan melipatgandakan strategi melibatkan pelbagai pihak untuk memastikan sifar sungai tercemar di negeri ini,” katanya.
Onn Hafiz berkata demikian pada sidang akhbar sempena program Southern Volunteers (VS) Go Green @ Johor Bersih Peringkat Negeri Johor 2025 di Kampung Bakar Batu, Sungai Tebrau, di sini hari ini.
Pada Julai tahun lalu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir dilaporkan berkata, sembilan daripada 25 sungai di Johor Bahru diklasifikasikan tercemar.
Ia membabitkan Sungai Danga, Sungai Buluh, Sungai Tukang Batu, Sungai Kempas, Sungai Segget, Sungai Pandan, Sungai Sebulung, Sungai Sengkuang dan Sungai Tampoi.
Onn Hafiz berkata, peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta diperuntukkan untuk membersihkan dua sungai iaitu Sungai Buluh dan Sungai Tukang Batu, Pasir Gudang.
“Kerajaan negeri sasarkan keluarkan dua sungai ini daripada senarai tercemar dengan kerja pembersihan dan rawatan kualiti air supaya tahap kualiti air dapat dipertingkatkan.
“Dua sungai ini kurang sumber air mentah dan air yang mengalir adalah air kegunaan perumahan dan industri yang menyebabkan tahap air itu berada di tahap keempat keatas, bererti tahap kotor dan sudah lama dalam senarai tercemar,” katanya.
Menurutnya, selain proses pembersihan, kesedaran semua pihak terhadap kebersihan sungai juga perlu diterapkan agar tahap kebersihan dapat dikekalkan.