JDT ratah Pohang 5-2, raih posisi keempat - Utusan Malaysia

JDT ratah Pohang 5-2, raih posisi keempat

PENYERANG JDT, Bergson Da Silva diraikan rakan sepasukan apabila menjaringkan gol pada perlawanan ACLE menentang Pohang Steelers FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan kebangkitan untuk menang bergaya 5-2 ke atas Pohang Steelers dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Zon Timur Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Hector Bidoglio  mendaki ke posisi keempat apabila mengutip 14 mata menerusi lapan perlawanan, manakala kelab Korea Selatan itu tersingkir daripada kelompok lapan terbaik dan terkandas dalam saingan kumpulan.

Dalam perlawanan itu, kedua-dua pasukan tampak seimbang setelah JDT dan kelab Korea Selatan itu bersilih ganti melancarkan serangan ke kubu lawan bagi memburu gol pembukaan.

Pasukan kendalian Park Tae Ha nyata berjaya menyerap tekanan, malah turut melakukan asakan sehingga memaksa pasukan tuan rumah melakukan kesilapan.

Gol pertama perlawanan hadir pada minit ke-27 yang dijaringkan Pohang Steelers berpunca hantaran lambung Jorge Luiz yang disudahkan Lee Hojae dengan menanduk masuk menewaskan penjaga gol, Andoni Zubiaurre.

Namun, jaringan tersebut tidak mematahkan semangat JDT, malah skuad Harimau Selatan lebih agresif melancarkan serangan balas dan hampir menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Juan Muniz  namun sepakannya sedikit melencong ke sebelah kiri pintu gol.

Gol diburu Harimau Selatan hadir pada minit ke-37 berpunca tandukan Bergson Da Silva tapi berjaya diselamatkan penjaga gol, Yoon Pyung-Guk namun Oscar Arribas pantas menyambar bola muntah itu bagi menyamakan kedudukan.

Pada penghujung babak pertama, Hojae hampir meletakkan pasukan pelawat kembali mendahului, malangnya rembatan yang dilakukan sekadar menggegar sisi jaring gawang JDT. 

Bersambung babak kedua, dua kesilapan mudah yang dilakukan benteng pertahanan Pohang Steelers membuka ruang bagi tuan rumah menghukum kesilapan lawan bagi meletakkan pasukan mendahului.

Pada minit ke-52, Jeon Min-Gwang yang mengawal pergerakan Bergson gagal memotong hantaran Jonatan Viera kepada penyerang kelahiran Brazil itu yang mudah melepasi kawalan penjaga gol dan meletakkan bola ke dalam gawang.

PEMAIN pertahanan Pohang Steelers FC, Oberdan mengawal pergerakan penyerang JDT, Arif Aiman Hanafi pada perlawanan ACLE di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Empat minit berselang, giliran Pyung-Guk pula melakukan kesilapan apabila melakukan hantaran tepat ke arah Arif Aiman Hanapi yang tidak mensia-siakan peluang itu dengan memperdayakan penjaga gawang itu bagi meletakkan JDT selesa mendahului.

Pohang Steelers cuba kembali mengatur gerakan, namun serangan yang dilakukan berjaya dipatahkan benteng pertahanan Harimau Selatan, namun kelab Korea Selatan itu berjaya merapatkan jurang apabila pemain simpanan, Kang Hyeonjae menjaringkan gol kedua Pohang Steelers menerusi sentuhan pertamanya dari jarak dekat pada minit ke-80 setelah mendapat umpanan Hong Yun-Sang.

Pada masa tambahan, Heberty Fernandes menjaringkan gol bagi JDT, namun gol itu dibatalkan setelah semakan bantuan video pengadilan (VAR) mendapati bola itu sudah dalam kawalan penjaga gol sebelum dirampas Heberty.

Walau bagaimanapun, kekecewaan skuad Harimau Selatan susulan gol itu dibatalkan terubat setelah Jese Rodriguez yang mendapat umpanan Jorge Obregon mudah menewaskan Pyung-Guk dalam situasi satu lawan satu pada masa tambahan.

JDT dihadiahkan sepakan penalti pada minit akhir permainan setelah Obregon dikasari dalam kotak penalti dan pemain kelahiran Colombia itu menyudahkannya dengan mudah, sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya juara Liga Super 10 kali itu.

Kemenangan itu menyaksikan JDT menduduki tempat keempat dan akan bertemu kelab Korea Selatan, Gwangju FC yang berada di tempat kelima dalam aksi pusingan 16 terbaik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya