ISKANDAR PUTERI: Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan menjuarai Liga Super musim 2024/2025, kemenangan 11 musim berturut-turut selepas menewaskan Perak FC 2-0 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan berjaya mengesahkan kejuaraan lebih awal dengan berbaki empat permainan setelah mengumpul 58 mata daripada 20 perlawanan, dan tidak mampu digugat percabar terdekat, Selangor FC.
JDT yang sudah memenangi Piala Sumbangsih dan Piala FA pada musim ini berada pada landasan tepat bagi melakar sejarah ‘triple quadruple’ dengan memburu Piala Malaysia bagi melengkapkan gelaran tersebut.
Hasrat pengendali The Bos Gaurus, Yusri Che Lah untuk menangguhkan pesta JDT tidak kesampaian apabila anak buah Hector Bidoglio beraksi baik dengan menjaringkan satu gol dalam setiap babak permainan.
JDT yang turun tanpa ayam tambatan, Bergson Da Silva dan Heberty Fernandes mendominasi permainan sebaik sahaja babak pertama, namun bergelut untuk merobek benteng skuad Seladang.
Pada minit kelapan, pasukan tuan rumah hampir membuka jaringan menerusi percubaan Arif Aiman Hanapi, namun rembatannya gagal menewaskan penjaga gol, Haziq Nadzli dan pada minit ke-20, giliran Jorge Obregon mengancam kubu Perak, malangnya tandukan yang dilepaskan sedikit tinggi melewati palang gol.
Pemain pertahanan, Jordi Amat juga berpeluang mencipta jaringan, namun kubu Perak masih kebal dikawal kemas Haziq.
Sebelum babak pertama berakhir, gawang pasukan pelawat akhirnya bolos juga menerusi gerakan cantik Arif Aiman melepasi kawalan pertahanan lawan sebelum melorong bola kepada Jese Rodriguez yang berjaya disudahkan bekas pemain Real Madrid itu.

Bersambung babak kedua, JDT terus mengekalkan penguasaan di bahagian tengah dan selesa mengawal permainan dengan melancarkan serangan daripada pelbagai arah.
Arif Aiman tampak cemerlang mengucar-kacirkan benteng pertahanan lawan, namun tidak berjaya menemui sentuhan penyudah menewaskan Haziq bagi meletakkan nama dalam senarai penjaring.
JDT dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, Ahmad Zuhadi Dzulkifli selepas bola yang dikuis Obregon terkena tangan Ariffin Ar-Rashid Ariffin.
Penyerang kelahiran Colombia itu tidak berdepan tugas sukar menyudahkan sepakan penalti itu apabila berjaya memperdayakan penjaga gol yang melayangkan badan ke arah berlawanan pada minit ke-64.
Walaupun bolos dua gol, Haziq tampil cemerlang apabila menafikan beberapa peluang keemasan JDT termasuk sepakan voli Arif Aiman pada minit ke-78.
Bidoglio yang membuat pertukaran dengan membawa masuk Bergson Da Silva, Romel Morales dan Mohamadou Sumareh tidak menyaksikan pertambahan gol berjaya dijaringkan.
Pada penghujung permainan, penyerang muda, Farris Izdiham Awang Kechik yang dibawa masuk berupaya melakukan percubaan tepat ke arah gol JDT, namun tidak berjaya menewaskan penjaga gol, Christian Abad Amat. – UTUSAN