JDT belasah PDRM 4-0, hampiri kejuaraan ke-11 - Utusan Malaysia

JDT belasah PDRM 4-0, hampiri kejuaraan ke-11

PENYERANG JDT, Jese Rodriguez berjaya melepasi pertahanan PDRM, Alif Naquiddin pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI – Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin hampir merangkul trofi Liga Malaysia apabila menewaskan Polis Diraja Malaysia FC (PDRM FC) 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Skuad Harimau Selatan yang mengutip 55 mata daripada 19 perlawanan hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk sah bergelar juara Liga Super 2024/2025, menjuarainya buat 11 musim berturut-turut.

Bermula sepak mula, anak buah Hector Bidoglio beraksi garang melancarkan serangan mencari ruang untuk menembusi ‘road block’ skuad kendalian P. Maniam.

Sang Saka Biru yang turun dengan formasi 5-3-2 bermain secara kompak di kawasan sendiri cuba menutup pergerakan pasukan tuan rumah yang bertubi-tubi mencari ruang untuk menjaringkan gol pembukaan.

Kekebalan benteng The Cop tidak bertahan lama apabila  JDT berjaya meruntuhkan benteng ampuh lawan setelah Heberty Fernandes mengumpan bola kepada Jorge Obregon yang melepaskan rembatan leret melepasi kawalan penjaga gol, Robson Rendy Rining pada minit ke-13.

Walau bagaimanapun, Obregon terpaksa dibawa keluar pada minit ke-26 setelah mengalami kecederaan ketika melakukan percubaan ke arah gawang lawan.

Ketika pasukan pelawat cuba mengatur gerakan dan menyaingi JDT, mereka dibolosi sekali lagi berpunca daripada sepakan sudut Juan Muniz ditanduk Jordi Amat ke penjuru gawang dan disudahkan Corbin Ong yang menanduk masuk ke gol lawan.

PEMAIN pertahanan JDT, Corbin Ong meraikan gol jaringannya pada perlawanan Liga Super menentang PDRM di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

 

Bergson yang sudah menjaringkan 23 gol dalam saingan liga musim ini tampak bergelut mendapatkan sentuhan penyudah apabila beberapa peluang keemasan gagal disudahkan.

Dua percubaan tepat ke arah gawang oleh ayam tambatan JDT itu pada minit ke-47 dan ke-49 dinafikan Rendy Rining bagi memastikan gawang PDRM FC tidak dibolosi sebaik sahaja babak kedua bersambung.

Pada minit ke-54, Jese Rodriguez yang masuk menggantikan Obregon menjaringkan gol ketiga JDT apabila menyudahkan hantaran ‘trivela’ dilakukan Park Junheong.

Jaringan tersebut memberi tonik bagi pasukan tuan rumah untuk terus menekan The Cop yang tampak buntu mengekang kemaraan pasukan lawan.

Heberty sekali lagi mendatangkan resah kepada pasukan pelawat apabila melakukan rembatan voli dari luar kotak yang memaksa Rendy Rining melayangkan badan untuk menepis percubaan itu.

Romel Morales, Mohamadou Sumareh dan Nazmi Faiz Mansor yang dibawa masuk pada pertengahan babak kedua bagi terus menghambat pasukan lawan yang dilihat hilang punca.

Ketika permainan berbaki 10 minit, Jese yang merampas bola di zon sendiri dan membuat larian solo sebelum membuat umpanan kepada Morales yang menjaringkan gol keempat JDT, menambah derita PDRM FC. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya