SHAH ALAM: Satu jawatankuasa khas dicadang ditubuh bagi memudahkan proses permohonan kebenaran merancang (KM) kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dibuat oleh pengusaha-pengusaha dalam sektor pertanian, pelancongan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, ia termasuk pengusaha inap desa dan industri pertanian lain yang berdepan isu penggunaan tanah berstatus pertanian terutama di luar bandar.
“Tetapi, kita akan cuba minta majlis selaraskan satu jawatankuasa khas supaya kita dapat teliti kes industri-industri kampung dan sebagainya yang menggunakan tanah dengan keluasan yang tidak besar, mungkin boleh beri sedikit kelonggaran.
“(Bagaimanapun) Itu memerlukan libat urus daripada semua pihak dahulu supaya ia tidak bercanggah dengan rancangan kita dan kelulusan di peringkat PBT. Tetapi, kalau hendak beri kelonggaran, kemudahan dan bantuan kepada industri itu, kita perlu ada satu tindakan yang spesifik baru kita boleh bantu mereka,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan dasar Speed Selangor yang mempercepat kelulusan perancangan industri kepada 14 hari berbanding tiga hingga enam bulan didakwa meminggirkan sektor pertanian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh dalam kenyataannya berkata, kerajaan negeri sepatutnya memperluas skop dasar sedemikian bagi mempercepatkan proses kelulusan tanah untuk pembinaan ladang dan infrastruktur berkaitan.
Jelas Suee Lim yang juga ADUN Sekinchan itu, dasar tersebut membolehkan semua permohonan melalui pelan pusat sehenti (OSC) 3.0 PLUS mendapatkan KM, kelulusan pelan bangunan dan lesen perniagaan.
“Hari ini hantar, petang sudah lulus. Kalau boleh kita hendak buat sampai ke tahap itu untuk lesen perniagaan. Itu di kampung-kampung atau luar bandar, kalau boleh kita juga permudahkan permohonan.
“Speed Selangor merangkumi semua, tetapi isu itu melibatkan luar bandar dan dalam Speed Selangor kita cuba mana yang boleh dipermudah,” ujarnya. – UTUSAN