Jalan rosak bahayakan penduduk, guru sekolah - Utusan Malaysia

Jalan rosak bahayakan penduduk, guru sekolah

KEADAAN jalan utama Kampung Tebing Rebak yang rosak dan mengalami mendap ketika tinjauan di Bagan Datuk, Perak semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Pengguna laluan masuk ke Kampung Tebing Rebak di sini meminta kerajaan memberi perhatian berhubung keadaan jalan tersebut yang mengalami kerosakan.

Keadaan itu jika dibiarkan berlarutan pasti akan mendatangkan bahaya kepada pengguna terutama penduduk dan guru yang mengajar di sekolah di kampung tersebut.

Tinjauan mendapati laluan utama penduduk keluar masuk ke kampung berkenaan menga­lami kerosakan seperti jalan berlubang, berlaku keretakan dan ada bahagian jalan yang mendap.

Seorang penduduk, Harul Osman, 30, berkata, jalan yang rosak bukan sahaja menyebabkan penduduk tidak selesa tetapi juga boleh menyebabkan kemalangan terutama ketika mahu mengelak lubang.

Katanya, jalan yang mendap atau tidak rata juga boleh menyebabkan kemalangan teruta­ma ketika berselisih dengan kenderaan lain.

“Motosikal saya pernah terlanggar lubang kerana mahu mengelak kenderaan lain malah pernah hampir terbabas ke dalam parit.

“Pada waktu pagi ,ramai yang keluar masuk menggunakan jalan ini untuk ke tempat kerja termasuk guru sekolah di sini, kerana jalan mendap, kereta mereka senget ketika berselisih dengan kereta lain malah ada yang nyaris masuk parit.

“Saya berharap jalan yang rosak ini segera diperbaiki untuk kemudahan penduduk dan guru sekolah di sini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Muhamad Mat Desa, 47, berkata, jalan itu rosak kerana sudah lama dibina dan ia bukan sahaja patut diperbaiki tetapi perlu dilebarkan untuk memudahkan kereta berselisih.

Katanya, ketika kampung lain sudah mempunyai jalan yang selesa penduduk di Tebing Rebak juga mahukan jalan utama ke kampung mereka selesa untuk dilalui.

“Kami berharap jalan ini dinaik taraf untuk kemudahan penduduk yang keluar masuk dan memudahkan ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah.

“Jalan ini penting kerana ia laluan utama penduduk untuk semua urusan dan kami mahu menggunakannya dalam keada­an selesa dan selamat,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya