SHAH ALAM: Peningkatan denda atau hukuman terhadap pihak yang terlibat dalam pelupusan sampah secara haram didakwa tidak menyelesaikan masalah tersebut.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, situasi sama berlaku terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang terlibat dengan aktiviti pencemaran sungai walaupun selepas pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999 dikuatkuasakan pada 2020.
“Denda bukan segala-galanya, kadang-kadang ia juga melibatkan langkah-langkah penguatkuasaan, sebagai contoh bila kita buat Enakmen Luas, denda kita pertingkatkan, tetapi mereka yang melakukannya masih terlepas.
“Walaupun ada sebahagiannya tidak menggunakan enakmen luas, jadi kita kena tengok keseluruhan aspek, tujuan kita adalah untuk mengelakkan daripada hal itu berlaku dan bukan untuk mengenakan denda dan sebagainya,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan hukuman lebih berat terhadap individu yang melupuskan sisa atau atau menjadikan sesuatu kawasan sebagai tapak pelupusan sampah haram perlu dilaksanakan bagi mengekang perkara tersebut daripada berulang.
Saranan oleh Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia, N. Rajesh susulan Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap 2007 yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini, memperuntukkan denda sehingga RM2,000 atau penjara setahun tidak mampu mengekang aktiviti pelupusan sampah secara haram.
Ini kerana undang-undang dan hukuman sedia ada didakwa terlalu ringan.
Bagaimanapun, Amirudin memaklumkan tiada pindaan akan dilakukan terhadap undang-undang tersebut pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung ketika ini, namun bersedia mempertimbang untuk dibawa pada sidang akan datang.
“Untuk kali ini tak ada, sebab ia harus dibawa dan dibentang ke dalam dewan oleh exco, tetapi dalam sidang akan datang ada keperluan menguruskan memang kita akan angkat untuk dibentangkan tentang pengurusan sisa pepejal,” ujarnya.
Terdahulu, lebih 52 hektar kawasan di Kampung Seri Sentosa dijadikan tapak pelupusan sampah haram sejak lebih 10 tahun lalu malah ia didakwa semakin meluas dalam tempoh tersebut.
Keluasan kawasan itu melebihi separuh daripada keluasan Istana Negara yang boleh memuatkan 72 padang bola sepak, 12 Menara Berkembar Petronas atau tiga kompleks Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri. – UTUSAN