PETALING JAYA: Isu `perang’ perdagangan global, kebajikan pekerja asing serta pemulihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menjadi antara topik utama yang dibangkitkan dalam sesi persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Mesyuarat yang diterbitkan di portal rasmi Parlimen, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee, menggesa kerajaan menilai semula dasar penghasilan 70 peratus beras tempatan dan pengimportan 30 peratus beras luar bagi memastikan industri padi kekal mampan selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).
Dalam isu berkaitan ekonomi, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian Malaysia terhadap perang perdagangan dunia yang dicetuskan oleh tarif dikenakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Beliau turut menyoal langkah fiskal kerajaan bagi melindungi ekonomi negara daripada kesan ketegangan ekonomi global itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, mengemukakan soalan kepada Menteri Pertahanan mengenai kemungkinan pelaksanaan PLKN 3.0 di Sarawak, termasuk kriteria pemilihan pelatih serta modul latihan yang bakal digunakan sekiranya program itu dilaksanakan semula.
Isu kebajikan pekerja asing dalam sektor perladangan turut mendapat perhatian apabila Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta, meminta penjelasan Menteri Perladangan dan Komoditi mengenai langkah kerajaan bagi melindungi hak pekerja asing serta inisiatif yang diambil untuk menarik lebih ramai tenaga kerja tempatan ke dalam sektor tersebut.
Dalam isu berkaitan alam sekitar, Ahli Parlimen Batu, Prabakaran Parameswaran, menggesa Perdana Menteri menyatakan tindakan kerajaan bagi menangani masalah pembuangan sampah haram yang semakin berleluasa di kawasan pelancongan serta pusat bandar.
Selain itu, beberapa isu lain turut dibangkitkan dalam sesi Dewan Rakyat hari ini, termasuk hubungan ASEAN-BRICS, pindaan Akta Pemberi Maklumat 2010, masalah keciciran pelajar B40 serta ketagihan rokok elektronik dalam kalangan pelajar sekolah.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadualkan berlangsung selama 18 hari dengan sesi perbahasan usul akan mengambil masa tujuh hari bermula hari ini.
Sesi jawapan oleh menteri berkaitan akan berlangsung dari 19 hingga 25 Februari, manakala sesi pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) dan urusan kerajaan akan diadakan dalam enam hari terakhir persidangan bermula 26 Februari. – UTUSAN