PETALING JAYA: Ibu dan bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin tiba di Kompleks Mahkamah di sini bagi perbicaraan kes pertuduhan mengabaikan anak mereka, dua tahun lalu.
Pasangan itu tiba di mahkamah kira-kira pukul 8.45 pagi dengan diiringi ahli keluarga yang lain.
Prosiding perbicaraan dijangka bermula sekitar pukul 10 pagi dengan 32 saksi pendakwaan dikemukakan.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan perbicaraan kes berkenaan bermula 3 hingga 7 Februari dan 17 hingga 21 Februari sementara Mac bermula 10 hingga 14.
Pada 21 Januari lalu, prosiding terdahulu, ibu bapa kepada Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari, 30 dan Ismanira Abdul Manaf, 30, memfailkan permohonan agar mereka dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu.
Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa dan mengaku tidak bersalah mengabaikan anak mereka.
Mengikut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, pasangan tersebut didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023, di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda
maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN