TAPAH: Golongan dalam kalangan keluarga berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) bersyukur kerana masih menerima bantuan persekolahan untuk anak mereka walaupun sesi persekolahan sudah bermula minggu lalu.
Seorang pekerja am, Adnan Ahmad, 55, berkata, bantuan kewangan yang diterimanya daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Choong Shin Heng dapat meringankan beban bagi membayar yuran sekolah agama anak lelaki bongsunya yang masih bersekolah di tahun empat di sebuah sekolah rendah di sini.
“Saya mempunyai empat orang anak dan dua masih lagi bersekolah jadi dengan pendapatan tidak seberapa saya dahulukan membeli barangan persekolahan bagi sekolah harian.
“Bantuan hari ini saya dapat gunakan untuk membayar yuran sekolah agama pula. Dapatlah selesaikan hal-hal persekolahan yang masih belum beres,” katanya pada Program Back To School Peringkat DUN Chenderiang di sini semalam.
Seramai 240 pelajar yang masih bersekolah rendah menerima bantuan wang tunai sebanyak RM100 seorang oleh Shin Heng dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM24,000.
Bagi Nurni Saari, 41, yang merupakan seorang suri rumah sumbangan tunai itu dapat menampung persekolahan enam orang anaknya yang semuanya masih belajar.
“Suami saya hanya bekerja sebagai seorang penghantar makanan dengan pendapatan yang tidak menentu jadi bantuan ini amat-amat membantu.
“Walaupun sesi persekolahan telah bermula namun masih banyak kelengkapan anak belum diselesaikan,” katanya.-UTUSAN.