Ibu, anak hasilkan fucuk halal - Utusan Malaysia

Ibu, anak hasilkan fucuk halal

HABIBAH Ujang (kiri) dan Ummu Sakinah menunjukkan produk fucuk yang dihasilkan mereka di Bengkel Soya Tenaka, Kampung Titian Akar, Rembau, Negeri Sembilan. – UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Menyedari kepenti­ngan untuk umat Islam mendapatkan produk makanan yang halal dan bersifat baik, dua beranak di Kampung Titian Akar di sini menghasilkan pelbagai produk berasaskan soya termasuk fucuk (tauhu kering nipis) sejak empat tahun lalu.

Habibah Ujang, 64, berkata, setelah bersara sebagai seorang guru, dia melihat terdapat ke­perluan buat pengguna dalam kalangan umat Islam untuk mendapatkan fucuk yang bersifat halalan toyyiban.

“Walaupun jualan tidak ba­nyak dan hanya memperoleh keuntungan sekitar 30 peratus sahaja, namun saya dan anak ketiga, Ummu Sakinah Ghazali, 30, gembira kerana mampu menghasil dan mengusahakan produk yang sentiasa digunakan orang Islam ini.

“Selepas ini kami mahu menghasilkan produk tauge dan tempe pula,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Bengkel Soya Tenaka, di sini.

Sementara itu, Ummu Sakinah yang merupakan siswazah Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berkata, buat masa ini dia dan ibunya mengusahakan penghasilan empat jenis produk iaitu air soya, tau fu fa, tauhu dan juga fucuk.

Menurutnya, kesemua pro­duk itu sudah mendapat pengiktirafan sijil halal yang dikeluarkan Bahagian Halal, Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

“Kini kami dalam proses memohon sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dari Kementerian Kesihatan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, kongsinya, dia mengambil masa sekitar empat hari ke seminggu dalam bagi penghasilan kira-kira 50 hingga 100 bungkus fucuk seberat 50 gram.

“Kami guna teknik double boil (rendaman dua kali) bagi fucuk. Selepas itu kami jemur dalam tempat yang bertutup serta bersih.

“Dalam tempoh empat hingga lima hari, fucuk ini akan kering dan kemudiannya dibungkus serta sedia untuk dijual pada harga RM5 sebungkus,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya