‘Hidup mereka tidak tenang pun tipu saya’ - Utusan Malaysia

‘Hidup mereka tidak tenang pun tipu saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mudah mengucapkan janji tetapi sukar menepati, begitulah tabiat seorang penghutang yang pada awalnya manis mulut ketika mahu meminjam namun hilang selepas mendapat wang.

Kadang-kala kasihan juga kepada si pemberi hutang kerana perlu menelan dan menahan sabar untuk mendapatkan semula wang simpanan sendiri.

Itulah juga nasib yang menimpa pelawak dan pengacara, Zizan Razak yang sebelum ini pernah mengakui kecewa menjadi mangsa penipuan dalam bidang perniagaan.

Kekal tenang meskipun kebaikannya dipijak-pijak, Zizan tetap reda walaupun duitnya lesap mencecah jutaan ringgit selepas menjadi mangsa penipuan manusia yang pernah dikatakan ‘kawan’.

Menurut Zizan atau nama lengkapnya, Mohd Razizan Abdul Razak, 40, dia akur apabila individu yang kononnya mahu membuat perniagaan bersamanya hilang dari radar selepas selesai urusan pinjaman wang dilakukan.

“Yang scam itu bukan baju Melayu tapi perniagaan sebelum-sebelum ini. Ada yang mahu pinjam duit, ada juga yang mahu buat perniagaan bersama saya.

“Tapi bila minta bayaran semula mereka terus hilang. Nilai yang saya laburkan itu mencecah jutaan ringgit juga. Untuk orang seperti saya itu nilai yang sangat besar,” katanya.

Sementara itu, Zizan turut mendedahkan antara individu yang tergamak melakukan penipuan itu terhadapnya adalah kenalan rapat.

“Yang rapat pun ada, tak rapat pun jadi rapat sebab duit. Saya harap apa yang berlaku bukan dengan niat tapi tidak tahulah bila telefon tidak diangkat berbeza dengan awal-awal berkenalan dan mengajak berniaga,” jelasnya.

Tidak Serik Memberi

Terkenal dengan sikapnya yang pemurah dan pemberi, artis serba boleh itu yakin setiap yang berlaku mempunyai hikmah disebaliknya.

Enggan menyimpan dendam, penyanyi lagu Infiniti Cinta tersebut menganggap perkara itu hanyalah ujian buatnya selain yakin dengan balasan Yang Maha Esa.

“Alhamdulillah saya masih tersenyum, mungkin ada kesilapan dari saya punca berlaku perkara sebegini. Mungkin juga Allah nak uji saya dan dia.

“Saya lihat orang seperti ini tidak senang pun, kalau senang pun tak tenang. Saya tahu tidur mereka tak lena. Saya tidak halalkan kerana itu hak saya,” katanya.

Tidak menghalalkan namun tetap mengikhlaskan, Zizan juga mengakui tidak serik untuk terus membantu mereka yang benar-benar memerlukan kerana percaya dengan rezeki Tuhan.

“Saya tetap akan minta tapi tidak akan mengemis. Dari kejar macam pengemis lebih baik saya memilih terus berkerja kerana Allah masih beri rezeki dan peluang. Saya percaya pada rezeki Allah.

“Saya tidak mahu pertikaikan perkara itu takut jatuh tidak ikhlas. Saya tetap akan bantu orang yang betul-betul memerlukan pinjam duit saya,” ujarnya.

Pada Januari lalu, Zizan mendedahkan dirinya mengalami kerugian hampir mencecah jutaan ringgit selepas menjadi mangsa penipuan dalam bidang perniagaan.

Tidak patah semangat, pelawak itu akhirnya nekad untuk membuka perniagaannya sendiri dengan menjual baju Melayu sera kurta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya