KOTA BHARU: Seorang pengurus syarikat agensi pelancongan, Hafizul Hawari, 39, yang sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api selepas lebih 10 bulan prosiding perbicaraan kes tersebut dijalankan, menukar pengakuan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Hafizul membuat pengakuan itu selepas pertuduhan tersebut dibacakan semula di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mahkamah menetapkan Selasa depan iaitu 25 Februari ini untuk fakta kes dan prosiding jatuh hukum.
Prosiding itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Nik Mohd. Faris Syazwan Zainuzzaman.
Hafizul sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan termasuk kes melibatkan senjata api di Mahkamah Sesyen di sini pada 24 April tahun lalu.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memiliki senjata api jenis pistol bertulis Glock 19 Austria, Made In Turkey yang menyalahi undang-undang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum sebanyak enam kali jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki 33 butir amunisi atau peluru jenis PMC 380 AUTO tanpa lesen sah atas kesalahan dan dituduh mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 (Akta 206) yang memperuntukkan hukuman sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, Hafizul didakwa memiliki satu bungkusan plastik mengandungi mercun bola tanpa permit yang merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Mengikut pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga keping MyKad milik individu lain berusia 29, 34 dan 35 tahun yang boleh di hukum di bawah Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Bagi pertuduhan ketujuh, Hafizul didakwa memandu sebuah kereta jenis Honda Civic dengan mempamerkan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketujuh-tujuh kesalahan itu dilakukan oleh Hafizul di dalam sebuah kereta jenis Honda Civic di pekarangan Hospital Pakar KPJ Perdana di sini kira-kira pukul 2 petang pada 15 April tahun lalu.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Hafizul ditahan di Kota Bharu pada 15 April lalu selepas 36 jam diburu polis.
Terdahulu, lelaki itu telah melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena seorang pengawal peribadi dalam kejadian di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1) kira-kira pukul 1.20 pagi pada 14 April 2024.
Wanita yang menjadi sasaran dalam insiden itu merupakan isterinya yang dikenali sebagai Ustazah Farah Cie terselamat dan pihak polis memaklumkan kejadian bermotifkan perihal peribadi.-UTUSAN