KLANG: Kerajaan berhasrat untuk menggubal rang undang-undang baharu menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi menguatkuasakan penggunaan dan pelupusan plastik di negara ini serta mengatasi masalah pencemaran yang disebabkan oleh sisa tersebut.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, undang-undang baharu itu disifatkan perlu untuk mengawal pelupusan dan pencemaran plastik diperingkat nasional.
Menurutnya, kawalan dan penguatkuasaan sedia ada kini adalah di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), justeru ia wajar diseragamkan di seluruh negara.
“Di bawah RMK13 kita sedang melihat sama ada boleh diadakan satu perundangan di peringkat nasional untuk mengatasi pencemaran plastik sebab selama ini langkah itu di bawah dasar tersebut
“Kita sedang melihat sama ada kita boleh mengatasi pencemaran plastik sebab selama ini langkah-langkah itu banyak bergantung kepada inisiatif di PBT ataupun kerajaan negeri, bukan Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kapal Pengumpulan Sisa ‘Mobula’ anjuran Yayasan Penyelidikan Marin, hari ini.
Jelas Nik Nazmi, langkah tersebut untuk mengurangkan penghasilan sisa plastik apabila negara dikatakan berada pada kedudukan lima tertinggi dari seluruh dunia yang menyumbang kepada pencemaran bahan tersebut.
“Ia menyumbang kepada masalah kesihatan, banjir kilat dan sebagainya. Bagaimanapun, kerajaan mempunyai dua pelan hala tuju ke arah sifar penggunaan plastik sekali guna dan penggunaannya secara lestari,” tambahnya.
Terdahulu, beliau mengalu-alukan sumbangan kapal pengumpul sisa plastik oleh The SeaCleaners dari Switzerland kepada Yayasan Penyelidikan Marin sebagai inisiatif mengurangkan impak terhadap pencemaran plastik yang serius di negara ini.
Kata Nik Nazmi lagi, beliau berharap lebih banyak syarikat korporat atau organisasi bukan kerajaan (NGO) turut menghulurkan sumbangan dan memainkan peranan untuk membantu inisiatif penyelesaian pencemaran sisa plastik.
“Tidak cukup satu. Tetapi, sebagai permulaan kita harap dengan inisiatif yang dilancarkan pada hari ini lebih banyak agensi kerajaan ataupun swasta membantu sama ada di Kota Kinabalu, Sabah (pangkalan Yayasan Penyelidikan Marin) atau di seluruh negara.
“Ada kapal di Malaysia yang menguruskan sisa plastik seperti Ocean Clean Up yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri Selangor di Sungai Klang dan Mobula 8 (hari ini).
“Kalau kita tengok Selangor dan Pulau Pinang agak ke hadapan dalam penyelesaian masalah tersebut. Kuala Lumpur dan Sabah sudah mula, tetapi banyak lagi tempat yang belum ada sebarang inisiatif,” jelasnya. – UTUSAN